“Saya sungguh teruja apabila membaca kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini bahawa Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Pembangkang menang Pilihanraya Umum Ke-13 akan datang”, ujar Syed Anuar Syed Mohamad, Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu SeMalaysia (Gagasan).

Walaupun kemenangan Pakatan Pembangkang itu hanyalah satu andaian dan masih menjadi satu kemungkinan semata-mata, isu ini amat menarik perhatian umum. Hakikatnya, politik kita sudah bercelaru dengan pelbagai hal apabila agenda diri, peribadi dan kaum diletakkan dalam senarai paling atas.

“Saya berpandangan terdapat beberapa hal yang wajar diberikan perhatian oleh kita semua tanpa menafikan sedikit pun apa yang dinamakan sebagai kemungkinan dalam kenyataan Dr Mahathir itu tadi.

Pertama, keghairahan orang Melayu berpolitik terutamanya generasi muda tanpa memahami struktur politik khususnya di sistem berparlimen harus diberikan perhatian. Saya percaya, ramai berpolitik tanpa memahami keadaan tersebut – majoriti dua pertiga, kuasa Parlimen dan tanggungjawab melihat kepentingan bangsa dalam politik,” ujarnya ketika dihubungi bagi mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa Melayu hilang kuasa jika pembangkang memerintah baru-baru ini.

Tambahnya, beliau bimbang dengan politik sentimen, khususnya di kalangan anak-anak muda sehingga ia akan mengancam majoriti dua pertiga “kuasa Melayu” di Parlimen. Mereka mungkin mahu menumbangkan Barisan Nasional (BN), namun pada masa yang sama mereka lupa mereka juga sedang berusaha menumbangkan kuasa bangsa sendiri.

“Jika anda ingin menyatakan saya seorang yang rasis, silakan. Namun, saya kuat berkata bahawa jika parti bukan Melayu bersatu sehingga mereka mampu menguasai kerusi di Parlimen, mereka mampu melakukan apa sahaja termasuk menghapuskan kepentingan Melayu itu sendiri.

Kita mahu menyesal?. Ketika itu ia sudah tidak berguna lagi. Kita harus ingat, akur dan insaf bahawa apabila sesuatu kumpulan parti dapat menguasai suara dua pertiga di dalam Parlimen, bukan sahaja mengadakan yang tiada tapi juga meniadakan yang ada,” tambahnya lagi.

Yang kedua, paling menyedihkan apabila kekuatan politik bukan Melayu ini didalangi dan didokongi oleh orang Melayu sendiri demi untuk mencapai cita-cita politik dan memperjuangkan survival individu tertentu. Mereka menang sorak walaupun akhirnya kampung tergadai, asalkan mereka puas dengan politik, telah menjadi satu trend yang membimbangkan.

Lihat contoh apa yang berlaku di Perak (ketika pemerintahan Pakatan Pembangkang) dan Selangor. Siapa yang menjadi boneka siapa? Dan siapa pula yang memboneka siapa? Adakah kita buta hati dan minda untuk menilainya?

“Dan ketiga, survival politik Melayu sendiri kini telah dikatakan umpama nyawa di hujung tanduk. Ia berlaku disebabkan umat Melayu telah berpecah belah melalui kaedah politik songsang yang pelbagai watak. Ada yang berwatakkan agama dan menjajanya sebagai alat politik murahan sehingga sanggup mengeluarkan pelbagai fatwa yang memualkan.Dan ada pula yang berwatakan liberal dengan tergamak menjadi hamba kepada politik bukan Melayu.

Apa yang dapat kita tafsirkan. Saya membacanya mengikut tafsiran betapa sebenarnya “ada penyatuan” pandangan mengenai kepentingan kaum bukan Melayu dalam hal ini dan ia secara senyap sebenarnya telah menempelak Melayu sebagai bangsa yang menjadi tuan kepada tanah air tercinta ini,” tambahnya.

Sehubungan dengan itu, kita harus merenung kembali peringatan Tun Dr Mahathir ini. Oleh itu, sudah sampai masanya umat Melayu menyemak semula cara dan kaedah mereka berpolitik. Melayu tidak boleh hanyut dan alpa akan segala kemungkinan yang disebutkan Dr Mahathir.

“Kita tidak bercakap mengenai kepentingan diri kita, bukan mengenai parti mana yang kita sertai tetapi kita bercakap mengenai tuan negara ini – Melayu. Dalam persimpangan politik sebegini, kita sudah tidak diberikan pilihan kecuali bersatu. Cukuplah penyatuan dan perpaduan ini menjadi pertaruhan demi kepentingan politik sempit”.