Oleh: Syed Anuar Syed Mohamad

Tidak ada sesiapa menduga, dalam diam telah lahirnya satu lagi pertubuhan yang memperjuangkan masa depan pendidikan negara atas asas kepentingan Melayu yang kini sedang dilingkari pelbagai cabaran yang semakin kritikal.

Kelahirannya dilihat sangat tepat di saat isu pendidikan Melayu semakin mendapat perhatian umum, apatah lagi rancangan pembentukan sistem pendidikan secara berkesan sentiasa berhadapan dengan karenah pelbagai pihak khususnya ahli politik sehingga kebanyakan usaha murni kerajaan menjadi terbantut.

Dengan janji bukan untuk menjadi pertubuhan eksremis Melayu, pertubuhan ini mahu membantu melalui penyatuan idea demi memastikan sektor pendidikan negara terus berkembang secara sihat dan terancang.

Diilhamkan oleh sekumpulan pemikir Melayu yang sayangkan pendidikan yang diketuai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga bekas aktivis pendidikan, Datuk Hasan Malek, maka tertubuhlah Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGASAN).

Penubuhan GAGASAN di saat pendidikan kini semakin menjadi perhatian umum, manakala pendidikan Melayu pula kian mencabar dan tercabar, maka kelahiran GAGASAN dianggap mempunyai signifikannya yang tersendiri dalam mengisi slot perancangan pembangunan pendidikan negara.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan, GAGASAN adalah pelengkap kepada agenda memperkasakan pendidikan Melayu itu sendiri sesuai dengan matlamat penubuhannya untuk melahirkan generasi Melayu cemerlang, bersahsiah dan berkepimpinan.

Hakikatnya dengan keahlian awal seramai 1,000 orang yang melibatkan 24 buah Parlimen di seluruh negara, GAGASAN bukanlah satu pertubuhan perkauman sempit tetapi ia lahir atas nama kesedaran yang kuat betapa sebenarnya pendidikan Melayu itu bukan sahaja wajib dipertahankan, malah dibantu untuk dipertingkatkan, apatah lagi di saat konflik atau pertikaian yang berkaitan Melayu kian terbuka.

Apa yang jelas, GAGASAN yang akan dilancarkan penubuhannya di Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur bakal menjadi benteng utama terhadap cabaran pendidikan Melayu itu sendiri, selain berperanan sebagai “think-tank” kerajaan dalam mendepani isu-isu pendidikan.

Pastinya dalam tempoh tiga tahun mendatang ini, apabila jumlah keahlian dijangka meningkat kepada 100,000 orang, peranan GAGASAN akan lebih terserlah dalam mewarnai perjuangan yang dimaksudkan, sekaligus meletakkannya sebagai pertubuhan yang penting di negara ini.

Ya, kita semua sedar mengenai cabaran serta isu-isu pendidikan negara tetapi kebanyakannya diolah mengikut acuan politik semata-mata selain ia menjadi tajuk perbahasan di warung kopi. Jadi, pendidikan kita mahu ke mana sebenarnya?.

GAGASAN bukanlah satu objek di padang permainan tetapi ia adalah payung kepada masa depan pendidikan Melayu, yang akan menjadi pembetuk kepada acuan pendidikan yang kita semua inginkan.

Berbeza dengan pertubuhan yang berteraskan kepada perjuangan memartabatkan bidang pendidikan yang lain, GAGASAN tampil dengan keupayaan serta kemahuan yang tinggi untuk melihat pendidikan negara diberikan perhatian dan dihidupkan dengan segarnya.

Kelahiran GAGASAN juga tidak wajar dilihat dari perspektif sempit kononnya ia bakal membawa perpecahan terhadap kepentingan Melayu itu sendiri tetapi GAGASAN wajar dilihat dari konteks penyatuan idea kumpulan yang sayang dan cintakan pendidikan Melayu di negara ini.

Apakah penubuhan GAGASAN bermaksud lahirnya satu lagi kumpulan eksremis Melayu?.

Sebenarnya tidak, GAGASAN adalah pertubuhan yang sangat terbuka dan mempunyai hasrat murni untuk melahirkan generasi pelajar dan pendidik yang bukan sahaja cemerlang di dalam negara tetapi hebat di luar negara.

Kami membawa obor Melayu Glokal yang pernah dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebelum ini dan berpegang kuat kepada iltizam Gagasan 1Malaysia dalam menzahirkan impian dan harapan tanpa bersifat ekstrem.

GAGASAN adalah pertubuhan yang berteraskan beberapa konsep Melayu Budiman yang dianggap penting dan cukup membantu dalam membentuk serta membina jati diri pertubuhan tersebut sebagaimana berikut:

WASATIAH: mengamalkan kaedah sederhana iaitu mencari kesempurnaan dengan nilai yang tidak terlalu tinggi tetapi juga tidak terlalu rendah atau dengan terjemahan yang lain, ia bermakna pertengahan atau seimbang.

BERAKAL: bijaksana dan berkeupayaan dalam penguasaan ilmu berdasarkan kepada kefahaman untuk membentuk nilai serta acuan kita sendiri.

BIJAKSANA: Atau juga dipanggil sebagai wasotiah yang akan menjadi pelengkap kepada kejayaan perancangan, strategi serta keupayaan itu tadi agar setiap apa yang dimahukan mencapai matlamat secara berkesan dan tepat.

BERBUDI: membina jati diri cemerlang berteraskan kepada nilai akhlak, budi pekerti yang tinggi sebagai pembantu kepada pembentuan sahsiah diri yang menjadi matlamat atau tujuan penubuhan GAGASAN.

GAGASAN berjanji akan meletakkan dirinya sebagai “hamba pendidikan” yang akan membantu kerajaan serta rakyat melalui pelbagai kaedah dan strategi bagi memastikan pendidikan Melayu sentiasa berada di tempatnya secara wajar.

GAGASAN juga akan membantu kerajaan dalam memastikan keputusannya untuk memperkenalkan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjelang tahun 2014 dan memulakan mata pelajaran Sejarah di sekolah rendah pada 2013 akan menjadi kenyataan dalam suasana teratur dan berkesan.

Kami mahu generasi sekarang dan akan datang lebih mengenali sejarah kerana hanya dengan cara itu, ia dapat membantu pembentukan jati diri dan sahsiah dalam kehidupan mereka.

Kemerosotan kefahaman generasi hari ini terhadap sejarah negara, khususnya perjuangan menuntut kemerdekaan misalnya akan menyebabkan pemikiran mereka menyongsor turun tanpa arah dan tujuan.

Dan, ini juga menjadi sebahagian daripada perjuangan GAGASAN melalui beberapa strategi yang akan diatur selepas ini.

Berasaskan betapa sebenarnya pertubuhan ini dianggotai kumpulan pemikir Melayu yang berlatarbelakangkan sebagai aktivis pelajar dan nilai akademik yang tinggi, adalah dipercayai GAGASAN bakal membawa obor baharu dalam dunia pendidikan negara.

Ini bukan cakap-cakap kosong atau retorik semata-mata tetapi ia adalah satu kenyataan yang sedang terbentuk dengan jelas di hadapan kita.

Juga hari ini, rata-rata idea mengenai pendidikan ini hanya berlegar di pasaran politik dan tidak kurang pula dibahaskan secara tradisional di warung kopi di kampung-kampung.

Walaupun adakalanya, apa yang diperkatakan itu remeh, namun kadangkala idea yang dilontarkan seperti lebih bernas daripada apa yang dilontarkan pada sidang Dewan Undangan Negeri atau Parlimen.

Jadi dalam konteks ini, apa salahnya jika idea itu diproses semula atau diberikan nilai tambah dan kemudiannya menjadi satu produk yang menguntungkan. Ia bukannya satu perniagaan yang memerlukan modal pun.

Oleh itu, GAGASAN mahu menjadi mata dan telinga kerajaan yang bertindak untuk mengutip semua idea itu secara bebas dan kemudiannya diproses menjadi produk pendidikan yang mungkin boleh bersifat dasar atau sebagainya kepada kerajaan.

Tindakan untuk merelakan pendidikan menjadi bahan dagangan politik semata-mata mesti ditamatkan secara muktamad kerana tidak pernah ada sejarah mengenainya yang menjanjikan keuntungan kepada negara dan rakyat. Itu jelas.

Justeru, GAGASAN mahu menjuarai perjuangan itu, menjadi pasukan paling depan dalam menyediakan produk pendidikan Melayu negara, selain menjadi pihak yang akan sentiasa memerangi mana-mana pihak yang mahu menjadikan pendidikan sebagai bahan dagangan politik mereka.

Kita sudah tidak punyai waktu sebenarnya untuk berkelahi dalam isu-isu pendidikan ini secara salah sedangkan jika setiap idea itu dicantumkan, keuntungan yang diperolehi pastinya berganda.

GAGASAN akan hadir di persada pendidikan negara dengan segala kelebihan dan keberanian demi untuk melihat kelangsungan pendidikan Melayu itu bukan sahaja dipertahankan tetapi dibentuk semula melalui kaedah dan cara yang menguntungkan semua pihak demi masa depan negara tercinta ini.

** Syed Anuar Syed Mohamed adalah Setiausaha Agung Gagasan. Beliau juga merupakan Mantan Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung.