KUALA LUMPUR 5 Nov. – Beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpendapat bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga wajar dikenakan hukuman berat seperti dilucutkan kerakyatan kerana tindakan beliau yang dilihat semakin ‘menggila’ dan boleh menghuru-harakan masyarakat di negara ini.

Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, Ambiga sudah ‘naik lemak’ dengan sikapnya yang semakin melampau dan perkara itu perlu dipandang serius oleh kerajaan.

“Orang seperti Ambiga ini tidak layak digelar manusia kerana dia sendiri telah melanggar norma-norma manusia apabila dengan lantang mahu menyuarakan hak-hak yang sepatutnya tidak perlu ditimbulkan.

“Jadi, beliau perlu dikenakan hukuman yang sewajarnya seperti dibuang negara atau apa jua jenis hukuman yang berat yang mampu membuatkan Ambiga menyedari kesilapannya,” ujarnya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Ambiga yang menyokong program mempromosi seks bebas Seksualiti Merdeka iaitu membela nasib pengamal seks songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan trangender (LGBT) di negara ini.

Malah, tambah Syed Anuar, bukan sahaja kerajaan, tetapi Majlis Raja-Raja juga berhak untuk memutuskan hukuman yang patut dikenakan memandangkan Ambiga telah menyentuh isu keagamaan apabila mahu menyebarkan isu moraliti yang dilarang oleh Islam.

“Walaupun Malaysia sebuah negara demokrasi, tetapi itu tidak bermakna ia memberi kebebasan kepada Ambiga untuk bermaharajalela dengan ideologi songsangnya yang kian melampau,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, Ambiga disifatkan sebagai seorang individu yang mencari populariti murahan dengan mengetengahkan isu-isu yang tidak pernah diduga akal.

“Justeru, beliau tidak perlu dihormati oleh sesiapa pun malah patut dipinggirkan atau dibuang negeri.

“Jika Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA) masih wujud, beliau wajar ditahan di bawah akta tersebut,” ujar Mohamed Maliki.

Menurut beliau, kerajaan perlu memikirkan mekanisme tepat untuk mendakwa Ambiga yang dilihat semakin meliar.

Sumber: Utusan Malaysia